Pelantikan Abd. Rahman Abu Bakar sebagai Penolong Gabenor
Embargo :1 Mei 2021
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan Encik Abd. Rahman Abu Bakar sebagai Penolong Gabenor berkuat kuasa pada 1 Mei 2021. Sebagai Penolong Gabenor, Encik Abd. Rahman akan bertanggungjawab dalam bidang yang berkaitan dengan modal insan, yang termasuk Modal Insan Strategik, Pembangunan Modal Insan dan Perkhidmatan Modal Insan.
Encik Abd. Rahman memulakan kerjayanya di Bank pada tahun 1992. Beliau pernah berkhidmat di pelbagai jabatan di Bank, termasuk Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, Penyiasatan Khas, Pengawalan Insurans, Perancangan Strategik, Pengurusan Sumber Insan dan Ekonomi. Beliau memegang ijazah sarjana muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Encik Abd. Rahman mengambil alih jawatan Encik Mohd Adhari Belal Din, yang akan meninggalkan Bank pada 11 Mei 2021 setelah berkhidmat selama 14 tahun.
Bagi pihak Bank, Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus menghargai khidmat bakti yang dicurahkan oleh Encik Adhari. Datuk Nor Shamsiah berkata, “Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sumbangan Encik Adhari dan berharap beliau terus berjaya dalam apa-apa jua bidang yang akan diceburi. Beliau telah memainkan peranan penting dalam melaksanakan inisiatif modal insan di Bank dan rakan sekutu Bank selama lebih satu dekad. Bank yakin Encik Abd. Rahman akan terus memajukan inisiatif kerja dan sumber manusia yang cemerlang yang telah dilaksanakan oleh Encik Adhari."

Bank Negara Malaysia
1 Mei 2021
© Bank Negara Malaysia, 2021. All rights reserved.