Navigasi

  • Langkau ke Kandungan
BNM Logo BNM Logo
  • Perihal BNM
      Peranan BNM Lembaga Pengarah Gabenor Jawatankuasa Pengurusan Pegawai Kanan BNM Struktur Organisasi Jawatankuasa Berkanun
  • Topik
  • Berita & Peristiwa
      Siaran Akhbar Notis Ucapan Kalendar Peristiwa Majlis di BNM Perolehan
  • Kadar & Statistik
  • Penerbitan
  • Peraturan
      Undang-Undang Standard & Garis Panduan Direktori PSK Tindakan Penguatkuasaan
  • Kerjaya
      Sertai Kami Jawatan Kosong Program Graduan Kijang Latihan Industri Biasiswa
  • Hubungi Kami
      Hubungi Kami Pejabat-pejabat BNM Dasar Pemberian Maklumat
Search

Pemilih Bahasa

english

Breadcrumb

  1. Home
  2. Berita & Peristiwa
  3. Ucapan
  4. Ucapan Gabenor di Majlis Pelancaran Pameran Maya Jenayah Kewangan

Ucapan & Temubual

Cetak

Ucapan & Wawancara

Pilih mengikut tahun    

Pilih mengikut Penyampai    

Cari dalam tajuk

 

Penerbit Aset

Ucapan Gabenor di Majlis Pelancaran Pameran Maya Jenayah Kewangan

Cetak

Ucapan Gabenor di Majlis Pelancaran Pameran Maya Jenayah Kewangan

Penyampai: Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus Tempat: Kuala Lumpur Tarikh Ucapan : 26 Sep. 2022

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selamat datang ke majlis pelancaran Pameran Maya Jenayah Kewangan.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Polis Negara yang turut bersama-sama menyempurnakan majlis pelancaran pameran maya ini.

Akhir-akhir ini, kita sering mendengar berita kes penipuan dan jenayah siber yang berlaku di Malaysia dan di peringkat global. Perkembangan ini amat membimbangkan dan Bank Negara Malaysia memandang serius perkara ini, terutamanya kes-kes yang melibatkan penipuan kewangan atau financial scam. Kami terus meningkatkan usaha serta kerjasama dengan pelbagai pihak yang berkaitan bagi menangani jenayah ini. Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah mengambil langkah pencegahan yang berterusan; melaksanakan aktiviti penguatkuasaan yang bersepadu dan lebih berkesan; serta meningkatkan tahap kesedaran orang ramai untuk sama-sama membanteras jenayah penipuan kewangan ini.

Untuk makluman hadirin sekalian, bank-bank dikehendaki memastikan kawalan dan standard keselamatan mereka sentiasa berada pada tahap tertinggi, terutamanya bagi perkhidmatan perbankan Internet dan mudah alih. Bank Negara Malaysia juga mengeluarkan panduan keselamatan kepada industri kewangan dari semasa ke semasa mengenai modus operandi penipuan terkini serta langkah keselamatan tambahan yang perlu diambil oleh bank-bank bagi melindungi simpanan pelanggan mereka.

Hakikatnya, kaedah penipuan ataupun modus operandi yang digunapakai oleh penjenayah akan sentiasa berubah-ubah. Oleh yang demikian, Bank Negara Malaysia akan terus mempertingkatkan usaha dan langkah untuk membanteras scam dengan memperkenalkan beberapa kawalan tambahan. Di sini saya ingin memaklumkan bahawa semua institusi kewangan telah diarahkan mengambil langkah-langkah berikut untuk mengukuhkan lagi perlindungan terhadap financial scam.

Pertama, institusi kewangan perlu beralih daripada penghantaran kata laluan sekali sahaja (atau One Time Password, OTP) melalui sistem pesanan ringkas (atau SMS) kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh. Peralihan ini melibatkan transaksi dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta pertukaran maklumat peribadi dan penetapan akaun atau account settings. Untuk makluman hadirin sekalian, institusi-institusi kewangan utama telahpun mula beralih kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh;

Kedua, bank-bank akan memperketatkan peraturan pengesanan penipuan dan bertindak menyekat transaksi yang disyaki terlibat dengan scam. Pelanggan akan dimaklumkan serta-merta apabila sebarang aktiviti seperti ini dikesan pada akaun perbankan mereka. Sebagai langkah tambahan, institusi kewangan juga akan

menyekat transaksi-transaksi tersebut dan pelanggan akan diminta memberikan pengesahan sebelum transaksi boleh diteruskan;

Ketiga, tempoh bertenang (atau cooling-off period) untuk pendaftaran kali pertama bagi perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti yang selamat (atau secure device) akan dilaksanakan. Semasa tempoh ini, sebarang aktiviti perbankan dalam talian tidak akan dibenarkan;

Keempat, pelanggan akan dihadkan kepada hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat (atau secure device) untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian; dan

Kelima, bagi membantu mangsa scam, kesemua bank dikehendaki menyediakan talian hotline khusus untuk aktiviti penipuan kewangan, di samping meningkatkan tahap respon dan maklum balas ke atas laporan penipuan kewangan yang dibuat oleh pelanggan mereka. Institusi kewangan juga dikehendaki untuk menyelaraskan langkah-langkah pemulihan dana dan kawalan, termasuk bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan kerugian kewangan mangsa scam selanjutnya tidak berlaku. Selain itu, institusi kewangan juga dikehendaki menyediakan cara yang mudah untuk pelanggan mereka menggantung atau suspend akaun bank mereka sekiranya akaun tersebut disyaki terlibat dengan scam, dan kemudiannya mengaktifkan semula akaun tersebut dalam tempoh masa yang munasabah selepas pengesahan dibuat.

Ringkasnya, Bank Negara Malaysia dan industri kewangan akan terus memastikan saluran perbankan dan pembayaran kekal selamat serta dilengkapi dengan kawalan keselamatan yang terkini.

Kawalan keselamatan yang lebih ketat berperanan untuk menghindari penjenayah daripada usaha mereka untuk menipu pengguna. Tetapi, langkah-langkah kawalan bagi mencegah kes penipuan juga akan menyebabkan urusan perbankan dalam talian pelanggan akan menjadi sedikit rumit. Contohnya, transaksi perbankan dalam talian

mungkin akan mengambil sedikit masa dan institusi kewangan akan melakukan lebih banyak semakan apabila pelanggan memohon untuk menukar atau mendaftar nombor telefon baharu. Walaupun ia akan mendatangkan sedikit kerumitan, namun, langkah- langkah kawalan tersebut adalah penting untuk melindungi kepentingan para pelanggan.

Bagi melaksanakan langkah-langkah ini, Bank Negara Malaysia dan industri kewangan akan terus dengan teliti memastikan keseimbangan antara keselamatan dengan keselesaan pengalaman atau kemudahan pelanggan. Bank Negara Malaysia juga akan terus memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas institusi kewangan untuk memastikan institusi kewangan sentiasa menetapkan kawalan dan standard keselamatan mereka pada tahap tertinggi dan mengambil langkah pencegahan yang berterusan dan efektif terhadap ancaman penipuan yang sentiasa berubah-ubah.

Usaha untuk membanteras aktiviti scam ini memerlukan kerjasama dan tindakan yang bersepadu daripada semua pihak, bukan sahaja daripada Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan, malah agensi penguatkuasaan, kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan serta seluruh rakyat Malaysia dalam menangani isu ini.

Pihak PDRM memainkan peranan penting dalam menangani kegiatan scam ini dan telah pun melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk mewujudkan pusat respons scam atau CCID Scam Response Centre bagi memudahkan orang ramai membuat laporan mengenai penipuan kewangan. Bank Negara Malaysia dan institusi-institusi kewangan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak PDRM untuk membanteras jenayah ini. Tumpuan juga akan terus diberikan untuk membantu mendapatkan semula dana yang telah diseleweng dan membawa penjenayah ini ke muka pengadilan.

Bagi membanteras jenayah scam ini secara berkesan, kerjasama antara agensi penguatkuasaan amat penting, terutamanya berkaitan perkongsian maklumat. Sehubungan dengan itu, satu inisiatif akan dilaksanakan di antara Bank Negara

Malaysia bersama-sama dengan PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan National Anti-Financial Crime Centre (NFCC) untuk mempertingkatkan lagi CCID Scam Response Centre bagi mewujudkan platform perkongsian maklumat yang lebih sistematik dan memastikan tindakan segera dapat diambil bagi menghalang kerugian kewangan selanjutnya daripada berlaku. Agensi- agensi yang terlibat akan bekerjasama dari segi perkongsian sumber, kepakaran dan data serta mengambil langkah-langkah pencegahan bersama yang lebih komprehensif. Maklumat lanjut mengenai inisiatif ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Selain itu, kerjasama dengan SKMM dan penyedia perkhidmatan pihak ketiga seperti syarikat komunikasi dan syarikat platform teknologi seperti penyedia perkhidmatan sosial media dan e-dagang juga penting bagi menyekat perkhidmatan ini disalah guna untuk kegiatan scam. Kesimpulannya, semua pihak memainkan peranan yang penting dalam mengukuhkan lagi pertahanan kita secara kolektif bagi menangani ancaman financial scam ini.

Salah satu aspek penting dalam menangani financial scam ialah meningkatkan kesedaran mengenai penipuan kewangan termasuk modus operandi penipuan dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh orang ramai untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa financial scam.

Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan serta agensi penguatkuasaan akan menjalankan usaha yang berterusan untuk meningkatkan keberkesanan program kesedaran dan penyebaran maklumat kepada rakyat Malaysia.

Pelbagai inisiatif pendidikan dan kesedaran telah dilaksanakan melalui pelbagai saluran dan medium termasuklah program webinar secara dalam talian serta perkongsian peringatan dan panduan untuk melindungi diri daripada jenayah kewangan. Orang ramai digalakkan untuk melayari dan mengikuti halaman Facebook Amaran Scam di https://facebook.com/amaranpenipuan bagi mendapatkan maklumat terkini.

Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan sokongan semua pihak. Sebagai pengguna, setiap seorang daripada kita bertanggungjawab untuk melindungi diri kita daripada ancaman scam. Yang paling penting, pemilik akaun perlu melindungi maklumat peribadi dan perbankan, dan tidak mendedahkan maklumat tersebut kepada mana-mana individu atau di laman sesawang yang mencurigakan. Pengguna juga harus sentiasa berwaspada dan memastikan peranti peribadi, seperti telefon bimbit, dikemas kini dan mempunyai perlindungan serta bebas daripada perisian yang mencurigakan seperti “malware” dan “spyware”. Ini bermaksud, pengguna perlu berhati-hati dan faham tentang apa-apa aplikasi yang dipasang dalam peranti yang digunakan untuk transaksi perbankan dalam talian. Selain itu, jika terdapat apa-apa transaksi meragukan yang melibatkan akaun bank anda, sila ikuti langkah-langkah berikut.

  1. Memaklumkan kepada bank anda;
  2. Menghubungi talian Scam Response Centre Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Commercial Crime Investigation Department, CCID) melalui nombor 03-2610 1559/1599 atau BNMTELELINK melalui talian 1-300-88-5465
  3. Membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan

Terdapat pelbagai cara yang boleh diambil untuk melindungi diri daripada ancaman ini, tetapi izinkan saya untuk merumuskan tiga perkara utama yang boleh dijadikan panduan, iaitu 3S – Soal, Sekat dan Sebar:

  • Soal setiap perkara terutamanya perkara yang meragukan dan mempunyai tanda- tanda amaran;
  • Sekat diri daripada melakukan langkah seterusnya jika berasa curiga terutamanya hal-hal yang melibatkan urusan kewangan; dan
  • Sebarkan maklumat kepada rakan dan keluarga, termasuk melaporkan kepada pihak berkenaan jika tidak pasti atau terdapat transaksi yang mencurigakan.

Konsep 3S ini juga selaras dengan tema pameran maya pada kali ini iaitu Semak Sebelum Diperdaya. Saya berharap maklumat dan panduan daripada pameran ini dapat membantu masyarakat daripada menjadi mangsa aktiviti jenayah scam. Pameran ini boleh dilayari melalui laman sesawang Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia di https://museum.bnm.gov.my/fce/bm.

Akhir sekali, ingatlah bahawa penjenayah scam akan sentiasa mengubah taktik penipuan mereka untuk terus mengumpan kita masuk ke dalam perangkap mereka. Saya berharap melalui panduan dan maklumat yang terdapat dalam pameran maya ini, kita akan lebih peka dan bersiap siaga untuk melindungi diri daripada diperdaya. Kita pasti boleh berjaya, bukan sahaja melalui usaha dan tindakan pihak berkuasa, malah yang lebih penting lagi ialah sokongan dan penglibatan anda semua dalam meningkatkan kesedaran, berkongsi maklumat serta meningkatkan kewaspadaan diri sendiri dan orang di sekeliling kita.

Sekian terima kasih.

View »
Ikuti Kami
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • tiktok icon
Bantuan Laman Web
  • Carian
  • Email Alert
  • Hubungi Kami
  • Muat Turun Borang
Notis Perundangan
  • Terma Penggunaan Laman Web
  • Terma Penggunaan Set Data BNM
  • Penafian
  • Dasar Privasi & Kuki
Pusat Perhubungan BNMLINK
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Isnin - Jumaat 9 pagi - 5 petang
  • decoration
    Borang e-Link
  • Talian Am BNM
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.
arrow-up icon