Liberalisasi Dasar Pentadbiran Pertukaran Asing
Embargo : Untuk siaran segera Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 0100 pada Khamis, 28 Mac 201928 Mac 2019
Bank Negara Malaysia mengumumkan langkah-langkah liberalisasi selanjutnya dalam rangka kerja pentadbiran pertukaran asing (foreign exchange administration, FEA). Liberalisasi ini bertujuan memberikan fleksibiliti perlindungan nilai yang lebih besar kepada pemastautin bagi menguruskan risiko pertukaran asing (foreign exchange, FX) dengan lebih baik:
i. Pemastautin boleh melindung nilai obligasi mata wang asing untuk tempoh yang lebih panjang
Fleksibiliti diberikan kepada pemastautin untuk melanjutkan tempoh lindung nilai obligasi mata wang asing kepada 12 bulan. Lanjutan tempoh ini akan memudahkan sektor perniagaan untuk membuat perancangan kewangan yang cekap. Pemastautin juga boleh mendapatkan kelulusan daripada Bank Negara Malaysia untuk melindung nilai obligasi mata wang asing mereka untuk tempoh melebihi 12 bulan.
Langkah ini berkuat kuasa serta-merta.
ii. PKS yang mempunyai obligasi import bersih boleh menerima bayaran dalam mata wang asing daripada pengeksport pemastautin
Menyedari bahawa keupayaan PKS untuk melindung nilai adalah terhad, PKS, yang merupakan pengimport bersih dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan global, dibenarkan untuk menerima bayaran dalam mata wang asing daripada pengeksport pemastautin bagi perdagangan barangan dan perkhidmatan di dalam negeri.
Langkah ini berkuat kuasa mulai 2 Mei 2019, untuk memberikan bank-bank masa yang mencukupi bagi menyediakan fleksibiliti ini kepada PKS dan pengeksport pemastautin yang layak.
Butiran lanjut mengenai langkah-langkah liberalisasi yang dinyatakan di atas terdapat dalam Notis Tambahan No. 5 Peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.
Lihat juga:
Bank Negara Malaysia
28 Mac 2019
© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.