Navigasi

  • Langkau ke Kandungan
BNM Logo BNM Logo
  • Perihal BNM
      Peranan BNM Lembaga Pengarah Gabenor Jawatankuasa Pengurusan Pegawai Kanan BNM Struktur Organisasi Jawatankuasa Berkanun
  • Topik
  • Berita & Peristiwa
      Siaran Akhbar Notis Ucapan Kalendar Peristiwa Majlis di BNM Perolehan
  • Kadar & Statistik
  • Penerbitan
  • Peraturan
      Undang-Undang Standard & Garis Panduan Direktori PSK Tindakan Penguatkuasaan
  • Kerjaya
      Sertai Kami Jawatan Kosong Program Graduan Kijang Latihan Industri Biasiswa
  • Hubungi Kami
      Hubungi Kami Pejabat-pejabat BNM Dasar Pemberian Maklumat
Search

Pemilih Bahasa

english

Breadcrumb

  1. Home
  2. Berita & Peristiwa
  3. Siaran Akhbar
  4. Perpindahan kepada Kadar Rujukan USD/MYR Kuala Lumpur

Penerbit Aset

Perpindahan kepada Kadar Rujukan USD/MYR Kuala Lumpur

Perpindahan kepada Kadar Rujukan USD/MYR Kuala Lumpur

Embargo : Untuk siaran segera Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1345 pada Khamis, 16 Jun 2016
16 Jun 2016

KENYATAAN AKHBAR BERSAMA

Bank Negara Malaysia dan Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (PPKM) ingin mengumumkan perkara berikut sebagai sebahagian daripada usaha untuk menerima pakai amalan terbaik global dalam pasaran kewangan domestik:

  1. Menerima pakai metodologi baharu dalam USD/MYR Spot Fixing (PPKM-MYR) dengan berdasarkan pada data transaksi pasaran berkuat kuasa pada 18 Julai 2016; dan
  2. Melanjutkan waktu penutupan rasmi bagi pasaran ringgit dalam negeri daripada pukul 5 petang kepada 6 petang, berkuat kuasa pada 18 Julai 2016. Ini akan memberikan entiti perniagaan masa tambahan untuk menyelesaikan transaksi pertukaran asing mereka. Walau bagaimanapun, peserta pasaran dalam negeri boleh terus membuat transaksi selepas waktu penutupan rasmi tersebut.

Di bawah metodologi baharu ini, kadar rujukan akan dikenali sebagai Kadar Rujukan USD/MYR Kuala Lumpur (Kuala Lumpur USD/MYR Reference Rate).  Kadar rujukan ini akan disiarkan setiap hari pada pukul 3:30 petang dan dikira berdasarkan jumlah purata berwajaran kadar spot pertukaran asing (FX) USD/MYR antara bank yang diurusniagakan oleh institusi kewangan domestik antara pukul 8:00 pagi hingga 3:00 petang. Data transaksi pasaran diambil daripada pelaporan dalam talian oleh institusi kewangan domestik kepada Bank Negara Malaysia. Metodologi baharu ini adalah lebih telus dan lebih mencerminkan urus niaga asas pada hari tersebut.

Kadar Rujukan USD/MYR Kuala Lumpur akan disiarkan secara percubaan selari di halaman Reuters KLMYRREF mulai 20 Jun 2016 dan hanya akan berkuat kuasa pada 18 Julai 2016. Tempoh percubaan selari ini adalah untuk membolehkan proses peralihan pasaran. Mulai tarikh kuat kuasa tersebut, Kadar Rujukan USD/MYR Kuala Lumpur akan menggunakan halaman PPKM-MYR yang sedia ada di MYRFIX02. Bank Negara Malaysia dan PPKM menjangkakan bahawa perpindahan ini akan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Penambahbaikan terhadap infrastruktur pasaran kewangan Malaysia ini ialah hasil kerjasama berterusan dengan PPKM, dan merupakan antara inisiatif awal yang telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan, iaitu forum inklusif bagi semua pihak berkepentingan pasaran kewangan untuk terus membangunkan dan menambah baik pasaran kewangan Malaysia,” kata Adnan Zaylani, Pengarah Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan Bank Negara Malaysia.

“Kadar Rujukan USD/MYR Kuala Lumpur yang berdasarkan data transaksi pasaran, berbanding dengan sebut harga yang dikemukakan oleh bank-bank terpilih di bawah metodologi dahulu, secara komprehensif menunjukkan semua transaksi FX antara bank yang dijalankan semasa tempoh urus niaga. Inisiatif ini meningkatkan proses penetapan kadar tanda aras FX USD/MYR ke tahap amalan terbaik global bagi memastikan kadar rujukan spot FX diterima baik di dalam negeri dan pada peringkat antarabangsa untuk menyumbang kepada pembangunan pasaran kewangan Malaysia selanjutnya,” tambah Lee K Kwan, Presiden PPKM.

 

Bank Negara Malaysia
Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia
15 Jun 2016

___________________________________

 

LAMPIRAN I

Kadar Rujukan USD/MYR Kuala Lumpur 

Definisi Indeks

Nama

Kadar Rujukan USD/MYR Kuala Lumpur

Keterangan

Jumlah kadar rujukan purata berwajaran kontrak pertukaran asing spot USD/MYR yang diurusniagakan antara dua Peniaga yang Dibenarkan (Authorised Dealers) dalam pasaran antara  bank Kuala Lumpur.

Tarikh Kuat Kuasa

18 Julai 2016.

Masa Siaran

3:30 petang waktu Kuala Lumpur.

Sampel yang Layak

Semua kontrak pertukaran asing spot USD/MYR yang diurusniagakan dari pukul 8:00 pagi hingga 3:00 petang waktu Kuala Lumpur antara dua Peniaga yang Dibenarkan1, seperti yang dilaporkan dan berpadanan dengan sistem pelaporan dalam talian.

Kaedah Pengiraan

Jumlah harga purata berwajaran berdasarkan Sampel yang Layak.

Ejen Pengiraan

Bank Negara Malaysia.

Mekanisme Sokongan

Sekiranya dianggap perlu oleh Bank Negara Malaysia, contohnya kekurangan Sampel yang Layak, kesilapan teknikal atau masalah sistem, Bank Negara Malaysia boleh menggunakan mekanisme sokongan untuk menerima pakai kadar rujukan 12:00 tengah hari Bank Negara Malaysia sebagai kadar rujukan untuk tujuan ini. Bank Negara Malaysia akan memaklumkan mengenai penggunaan seperti ini.

Penerbitan

Halaman MYRFIX02 di REUTERS.

Penerbitan Alternatif

Kadar rujukan yang sama akan disiarkan di Bloomberg dan / atau mana-mana platform lain tepat pada masanya bagi mendapatkan liputan seluas yang boleh. Sekiranya terdapat kadar rujukan yang tidak konsisten, kadar rujukan yang disiarkan di halaman MYRFIX02 REUTERS akan menjadi kadar rasmi.

1 Ini akan merangkumi transaksi Bank Negara Malaysia dengan peserta pasaran FX antara bank.

Bank Negara Malaysia
16 Jun 2016

© Bank Negara Malaysia, 2016. All rights reserved.

View »
Ikuti Kami
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • tiktok icon
Bantuan Laman Web
  • Carian
  • Email Alert
  • Hubungi Kami
  • Muat Turun Borang
Notis Perundangan
  • Terma Penggunaan Laman Web
  • Terma Penggunaan Set Data BNM
  • Penafian
  • Dasar Privasi & Kuki
Pusat Perhubungan BNMLINK
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Isnin - Jumaat 9 pagi - 5 petang
  • decoration
    Borang e-Link
  • Talian Am BNM
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.
arrow-up icon