Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 Berkuat Kuasa Hari Ini
Embargo :1 Dis 2011
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan penguatkuasaan Akta Perniagaan Perkhidmatan Kewangan 2011 (Akta) pada hari ini. Dengan penguatkuasaan ini maka Akta Pengurupan Wang 1998 dimansuhkan. Akta baharu ini menyokong pembangunan industri perniagaan perkhidmatan wang (terdiri daripada perniagaan pengurupan wang, perniagaan pengiriman wang dan perniagaan wang borong) yang lebih dinamik, berdaya saing dan profesional, sambil memperkukuh perlindungan daripada pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan aktiviti haram.
Akta ini menyediakan satu rangka kerja tunggal yang seragam untuk pemegang lesen yang menjalankan perniagaan pengurupan wang, perniagaan pengiriman wang dan perniagaan wang secara borong yang pada masa ini ditadbir di bawah tiga akta berasingan, iaitu Akta Pengurupan Wang 1998, Akta Sistem Pembayaran 2003 dan Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.
Memperkukuh Keperluan Kehematan
Akta ini menyediakan keperluan kehematan yang lebih kukuh dengan tumpuan khusus pada usaha memastikan pengawasan dan pengawalan yang berkesan terhadap kendalian dan operasi entiti berlesen bagi memelihara integriti dan keyakinan dalam industri perniagaan perkhidmatan kewangan. Ini termasuk pengukuhan keperluan "layak dan sesuai" bagi pemegang saham, pengarah dan ketua pegawai eksekutif entiti berlesen, serta keperluan kewangan dan operasi yang mencerminkan saiz dan skop perniagaan entiti tersebut. Entiti berlesen ini hendaklah mematuhi obligasi khusus di bawah Akta bagi mewujudkan dan mengekalkan mekanisme kawalan dalaman yang berkesan (termasuk langkah-langkah pengurusan risiko, perakaunan dan perlindungan bagi memastikan keselamatan dan integriti perniagaannya); pengaturan tadbir urus yang mempunyai akauntabiliti dan telus; dan prosedur yang wajar untuk memastikan pematuhan terhadap Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Urusan Yang lebih Telus dan Perlindungan Yang Lebih Baik kepada Pelanggan
Akta ini juga menggalakkan urusan yang lebih telus dengan pelanggan dan meningkatkan perlindungan yang diberikan kepada dana pelanggan yang diuruskan oleh entiti berlesen. Ini disokong oleh kuasa penguatkuasaan yang lebih luas yang diberikan kepada Bank Negara Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap ketidakpatuhan atau penyalahgunaan keperluan pengawalseliaan.
Entiti Yang Layak Mempunyai Fleksibiliti untuk Mengembangkan Skop Perniagaan
Selaras dengan usaha untuk membangunkan dan memodenkan lagi industri ini, entiti berlesen yang menunjukkan keupayaan kewangan dan operasi dalam menguruskan dan mengawal risiko perniagaan dengan berkesan berserta tahap kendalian secara profesional yang tinggi, akan dapat memperluas skop aktiviti semasa masing-masing untuk menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan, termasuk perkhidmatan pengurupan wang, pengiriman wang dan/atau wang secara borong di bawah satu lesen tunggal. Ini akan tertakluk kepada pematuhan terhadap piawaian kewangan dan operasi yang minimum, yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.
Entiti ini juga akan dapat beroperasi dengan lebih fleksibel dan akan dapat meluaskan jangkauan masing-masing, termasuk melalui pelantikan pemegang lesen sedia ada yang lebih kecil operasinya sebagai ejen. Oleh itu, landskap baharu ini menyediakan peluang bagi mempertingkatkan sinergi yang boleh dicapai melalui pengaturan perniagaan yang lebih cekap, dan pada masa yang sama mengembangkan industri supaya menjadi lebih matang dan berdaya maju yang akan melengkapkan sektor perbankan dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih mudah dan berkualiti tinggi kepada individu dan perniagaan.
Bank Negara Malaysia telah mengadakan lebih banyak perbincangan dan interaksi dengan industri mengenai rangka kerja pengawalseliaan baharu dan akan menyokong peralihan yang lancar kepada rejim baharu ini. Peralihan kepada rejim baharu ini tidak akan menjejaskan akses orang ramai kepada perkhidmatan pengurupan wang dan pengiriman wang.
Untuk pertanyaan lanjut tentang Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang, orang ramai boleh hubungi BNMLINK di 1 - 300 - 88 - 5465.
Bank Negara Malaysia
1 Disember 2011
© Bank Negara Malaysia, 2011. All rights reserved.