Pernyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan mengenai Brexit
Embargo :23 Jun 2016
Referendum (pungutan suara) di United Kingdom berhubung dengan keanggotaan EU akan berlangsung pada 23 Jun 2016 dan keputusannya dijangka diketahui pada petang hari Jumaat 24 Jun 2016 antara pukul 2.00 hingga 4.00 petang waktu tempatan. Memandangkan perkembangan ini merupakan peristiwa yang penting, impak dan ketidaktentuannya mungkin memberikan kesan limpahan terhadap pasaran kewangan.
Bank Negara Malaysia bersama-sama peserta pasaran kewangan Malaysia sedang memantau dan terus berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan risiko dan cabaran yang bakal dihadapi oleh pasaran kewangan domestik. Perlu ditekankan bahawa mudah tunai dalam pasaran kewangan domestik kekal lebih daripada mencukupi dan pasaran kewangan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan yang ketara. Peserta pasaran kewangan sentiasa bersedia untuk menyokong pasaran kewangan berfungsi dengan teratur dan pengantaraan yang lancar dalam pasaran kewangan.
Jawatankuasa Pasaran Kewangan juga ingin memaklumkan bahawa anggotanya akan terus menyediakan mudah tunai kepada pasaran kewangan seperti yang diperlukan. Pada hari Jumaat 24 Jun 2016, peserta pasaran akan memulakan waktu operasi lebih awal dan urus niaga akan dilanjutkan sehingga pukul 6.00 petang bagi memudahkan urus niaga pasaran untuk semua peserta pasaran.
Jawatankuasa Pasaran Kewangan
23 Jun 2016
Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan
Matlamat penubuhan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Jawatankuasa) adalah untuk meluaskan interaksi dan hubungan industri dengan tumpuan pada usaha mengkaji semula dan merumuskan strategi yang komprehensif untuk pasaran kewangan borong bagi memenuhi tuntutan yang pelbagai dan kompleks daripada ekonomi yang lebih maju dan bersepadu pada peringkat antarabangsa.
Jawatankuasa ini terdiri daripada peserta/ wakil daripada Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain atau pihak berkepentingan yang mempunyai peranan utama atau penyertaan dalam pasaran kewangan.
Jawatankuasa ini juga bertujuan untuk menyediakan forum peringkat tinggi untuk peserta pasaran bertemu secara kerap bagi membincangkan perkara dan isu yang mungkin timbul serta risiko berkaitan dengan pembangunan pasaran kewangan Malaysia.
Bank Negara Malaysia
23 Jun 2016
© Bank Negara Malaysia, 2016. All rights reserved.