Pernyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan mengenai Keadaan Selepas Brexit
Embargo :30 Jun 2016
Selepas referendum Brexit, pasaran Malaysia telah berdaya tahan dan terus beroperasi dengan teratur, memudahkan aktiviti pengantaraan yang lancar di kalangan peserta pasaran.
Pasaran domestik utama termasuk bon kerajaan, bon korporat dan pasaran wang adalah stabil dan pasaran domestik terus mempunyai kecairan yang mencukupi. Bagi pasaran pertukaran asing Ringgit, walaupun turun naik yang lebih tinggi daripada biasa, kecairan kekal disokong dan peserta pasaran kewangan dapat berurus niaga dan melaksanakan perniagaan mereka tanpa sebarang gangguan.
Bank Negara Malaysia akan terus memantau perkembangan ini dan bekerjasama dengan ahli Jawatankuasa Pasaran Kewangan, termasuk mengambil langkah proaktif, untuk menangani sebarang turun naik selanjutnya yang boleh muncul semula daripada proses peralihan untuk memastikan pasaran kewangan kami berfungsi dengan teratur.
Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC)
30 Jun 2016
Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan
Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Jawatankuasa) ditubuhkan dengan objektif untuk meluaskan penglibatan industri dengan tumpuan dalam mengkaji dan merangka strategi komprehensif untuk pasaran kewangan borong bagi memenuhi permintaan yang pelbagai dan kompleks bagi ekonomi yang lebih maju dan bersepadu di peringkat antarabangsa.
Jawatankuasa ini terdiri daripada peserta/wakil daripada Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi atau pihak berkepentingan lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.
Jawatankuasa ini juga berhasrat untuk menyediakan forum peringkat kanan untuk peserta pasaran bermesyuarat secara berkala bagi membincangkan perkara dan isu-isu yang berpotensi serta risiko yang berkaitan dengan pembangunan pasaran kewangan Malaysia.
Bank Negara Malaysia
30 Jun 2016
© Bank Negara Malaysia, 2016. All rights reserved.