Memperluas Usaha Sama Kewangan Serantau
Embargo : Untuk siaran segera Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1800 pada Jumaat, 18 November 201118 Nov 2011
Bank Negara Malaysia akan memperluas senarai cagaran yang layak yang boleh disandarkan oleh institusi kewangan berikutan integrasi kewangan serantau yang lebih teguh. Langkah ini bertujuan menambah baik rangka kerja pengurusan mudah tunai. Hal ini sejajar dengan bertambah pentingnya peranan institusi kewangan yang aktif di rantau ini, yang telah meningkatkan kesalinghubungan kewangan antara negara, khususnya dalam perdagangan, pelaburan dan perkhidmatan kewangan.
Senarai cagaran yang layak yang boleh disandarkan oleh institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia bagi memperoleh mudah tunai ringgit daripada Bank akan diperluas untuk merangkumi sekuriti dalam denominasi mata wang asing. Pada masa ini, cagaran yang layak adalah terhad kepada sekuriti dalam denominasi ringgit sahaja. Dengan perluasan ini, sekuriti dalam denominasi mata wang asing yang dikeluarkan oleh kerajaan dan bank pusat negara anggota EMEAP dalam mata wang tempatan dan asing akan diterima sebagai cagaran. Selain itu, sekuriti Bank Pembangunan Pelbagai Hala dalam denominasi USD, Euro, Yen Jepun dan Paun Sterling juga akan diterima.
Bank juga akan memulakan inisiatif untuk mewujudkan pengaturan kendalian dua hala bersaling (reciprocal bilateral operational arrangements) dengan bank pusat lain bagi membolehkan institusi kewangan Malaysia yang beroperasi di negara asing memperoleh mudah tunai daripada bank pusat asing dengan mencagarkan sekuriti dalam denominasi ringgit dan sebaliknya.
Inisiatif ini akan memperkukuh kerjasama serantau dan menyokong aktiviti pasaran kewangan dan pelaburan, dan dengan itu mengukuhkan lagi integrasi kewangan serantau.
Bank Negara Malaysia
18 November 2011
© Bank Negara Malaysia, 2011. All rights reserved.