Bank Negara Malaysia hari ini melancarkan Pelan Sektor Kewangan yang baharu, bertemakan "Memperkasakan Masa Depan". Pelan Sektor Kewangan ini melakarkan hala tuju masa hadapan sistem kewangan bagi tempoh sepuluh tahun akan datang.
Dengan negara mengorak langkah ke arah ekonomi bernilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi, sektor kewangan akan memainkan peranan yang lebih besar, yang melangkaui peranannya daripada pendorong pertumbuhan kepada pemacu utama dan pemangkin pertumbuhan ekonomi negara. Sehubungan dengan itu, sektor kewangan perlu menjadi lebih berdaya saing, dinamik, inklusif, pelbagai dan bersepadu, dengan keupayaan untuk menawarkan perkhidmatan kewangan bertaraf dunia, dari segi keluasan, kedalaman dan kualiti bagi memenuhi tuntutan negara. Perkembangan sistem kewangan seharusnya ditegarkan (anchored) kepada pertumbuhan dalam sektor benar. Berdasarkan unjuran kadar pertumbuhan ekonomi untuk tempoh sedekad yang akan datang, sektor kewangan dijangka meningkat kepada 6 kali KDNK menjelang tahun 2020 daripada 4.3 kali KDNK semasa. Pada masa yang sama, sumbangan sektor perkhidmatan kewangan kepada KDNK nominal dijangka meningkat daripada 8.6% daripada KDNK nominal kepada antara 10% hingga 12% menjelang tahun 2020.
Menyedari akan hubungan yang semakin kompleks antara pelbagai komponen dalam sektor kewangan dengan kesalinghubungan antarabangsa dan integrasi kewangan serantau yang lebih meluas, Pelan Sektor Kewangan beralih daripada menggunakan pendekatan yang berasaskan sektor seperti yang terdapat dalam Pelan Induk Sektor Kewangan (Financial Sector Masterplan, FSMP) sebelum ini. Pelan Sektor Kewangan telah mengambil pendekatan yang bersepadu dengan saranan-saranan dibuat berdasarkan hasil yang dikongsi bersama yang melibatkan pelbagai subsektor dalam sektor kewangan. Di luar sempadan negara, Pelan Sektor Kewangan menjangkakan penyertaan yang lebih besar oleh sektor kewangan Malaysia dalam memudahkan aliran kewangan serantau, terutama sekali dalam menyokong perdagangan dan pelaburan serantau, integrasi kewangan serantau, serta pengantarabangsaan kewangan Islam. Pembentukan Pelan Sektor Kewangan juga mengambil iktibar penting daripada krisis kewangan global yang berlaku mutakhir ini, menjadikan kestabilan kewangan sebagai prasyarat penting dalam memastikan perkembangan sektor kewangan dan ekonomi secara keseluruhannya teratur dan mampan.
Terdapat sembilan bidang tumpuan dalam Pelan Sektor Kewangan bagi memajukan lagi pembangunan sektor kewangan dalam usaha memacu peralihan Malaysia untuk mencapai ekonomi bernilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi dengan perlindungan yang sewajarnya untuk memelihara kestabilan kewangan:
- Pengantaraan berkesan ke arah pembentukan ekonomi nilai ditambah tinggi dan berpendapatan tinggi – Dalam hal ini, tabungan yang pelbagai perlu digembleng untuk pelaburan yang produktif di Malaysia dan untuk memenuhi keperluan perniagaan dan isi rumah. Sebuah ekosistem modal risiko yang teguh untuk menyokong aktiviti ekonomi yang dipacu oleh inovasi dan usaha niaga permulaan akan dibangunkan. Inisiatif ini juga termasuk mempertingkat penyediaan pembiayaan projek yang besar dan berjangka panjang bagi pembangunan infrastruktur. Sejajar dengan hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia yang bertambah kukuh, sektor kewangan dijangka memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pengantarabangsaan perniagaan Malaysia. Penekanan juga diberikan pada usaha meningkatkan penyediaan perkhidmatan kewangan untuk pengurusan kekayaan, persaraan dan penjagaan kesihatan jangka panjang bagi memenuhi keperluan segmen penduduk Malaysia yang berkemampuan, dan yang memasuki usia persaraan. Pembangunan industri persaraan swasta yang teguh juga dijangka meningkatkan peranan kumpulan wang pencen sebagai sumber pendanaan utama bagi keperluan ekonomi untuk pembiayaan jangka lebih panjang dan berasaskan risiko.
- Membangunkan pasaran kewangan yang dalam dan dinamik – Usaha akan dijuruskan untuk meningkatkan mudah tunai, kedalaman dan penyertaan dalam pasaran wang, pasaran pertukaran asing dan pasaran sekuriti kerajaan di Malaysia. Ini bagi memudahkan pengantaraan, pemindahan risiko dan pengurusan mudah tunai yang lebih efektif, serta memenuhi keperluan yang pelbagai dalam ekonomi yang lebih maju dan bersepadu dengan ekonomi antarabangsa. Liberalisasi peraturan pentadbiran pertukaran asing akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat untuk meningkatkan lagi kecekapan dalam urus niaga pasaran kewangan. Perkembangan pasaran pertukaran asing dan pasaran wang domestik yang teguh, serta memastikan pengurusan risiko dan amalan tadbir urus yang mantap oleh peserta pasaran kewangan, akan menjadi agenda penting dalam pembangunan sistem kewangan Malaysia.
- Perkongsian kemakmuran yang lebih meluas melalui rangkuman kewangan Matlamat yang hendak dicapai adalah untuk membolehkan segenap lapisan masyarakat, termasuk golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan yang perlu, yang berkualiti dan pada harga yang mereka mampu. Oleh itu, inisiatif akan ditumpukan ke arah membangunkan saluran penyampaian yang lebih inovatif, seperti ejen perbankan, untuk memperluas jangkauan perkhidmatan kewangan dengan cara yang lebih cekap dari segi kos serta menambah rangkaian produk dan perkhidmatan, seperti produk pembiayaan mikro yang lebih fleksibel, produk simpanan mikro berkontrak jangka panjang, serta produk insurans dan takaful mikro untuk memenuhi keperluan kewangan yang berbeza-beza dalam segenap lapisan masyarakat.
- Mengukuhkan integrasi kewangan serantau dan antarabangsa Sejajar dengan peranan Malaysia yang lebih besar dalam menggembleng dana serantau dan merentas sempadan, dan untuk memenuhi keperluan syarikat Malaysia yang memperluas operasi ke luar negeri dan syarikat yang melabur di negara ini, usaha memperkukuh hubungan kewangan antarabangsa Malaysia akan ditingkatkan. Melangkah ke hadapan, dasar pelaburan Malaysia akan berpandukan dua pertimbangan utama – (i) kriteria kehematan dan (ii) kriteria kepentingan Malaysia, termasuk kesan pelaburan terhadap aktiviti ekonomi Malaysia terutamanya untuk menjadi pemangkin kepada aktiviti nilai ditambah tinggi yang baharu, sumbangan dalam meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antarabangsa, serta kesannya kepada kestabilan kewangan, termasuk tahap persaingan. Satu lagi pertimbangan yang mengambil kira kepentingan Malaysia ialah kewujudan berterusan kumpulan perbankan domestik yang kukuh dan diurus dengan baik, dan terus menggembleng bahagian deposit pemastautin yang besar. Ini penting bagi pertumbuhan dan pembangunan sektor kewangan yang teratur.
- Pengantarabangsaan kewangan Islam Meskipun Malaysia telah mencapai beberapa kejayaan besar dalam usahanya untuk menjadi sebuah pusat kewangan Islam antarabangsa, usaha akan diteruskan untuk menambah baik ekosistem kewangan Islam. Ini memerlukan pembentukan persekitaran yang lebih kondusif bagi menggembleng jumlah aliran kewangan Islam yang lebih tinggi daripada pelbagai peserta pasaran untuk disalurkan melalui instrumen kewangan Islam yang inovatif. Dalam memperkukuh rangka kerja perundangan dan Syariah, di samping memajukan lagi kepimpinan berwawasan Malaysia dalam kewangan Islam, sebuah badan perundangan tunggal sebagai pihak berkuasa tertinggi bagi perkara-perkara Syariah dalam kewangan Islam akan ditubuhkan.
- Rejim pengawalan dan penyeliaan untuk memelihara kestabilan sistem kewangan Rangka kerja perundangan yang menyeluruh akan digubal untuk memperkasakan suatu sistem yang kukuh, telus dan bertanggungjawab bagi pengawalan dan penyeliaan yang berkesan. Tumpuan juga akan diberikan ke arah meningkatkan piawaian modal dan mudah tunai institusi kewangan agar selaras dengan piawaian antarabangsa, selain mempertingkat piawaian tadbir urus dan pengurusan risiko mereka. Dengan sektor kewangan semakin terhubung dengan sektor serantau dan antarabangsa, kerjasama merentas sempadan yang lebih erat akan dijalin dengan pihak berkuasa penyeliaan yang lain.
- Pembayaran secara elektronik untuk meningkatkan kecekapan ekonomi Penekanan akan diberikan pada usaha mempercepat peralihan kepada pembayaran secara elektronik (e-pembayaran). Untuk tempoh sepuluh tahun akan datang, matlamat Bank adalah untuk meningkatkan bilangan urus niaga e-pembayaran per kapita daripada 44 urus niaga kepada 200 urus niaga, dan mengurangkan lebih daripada separuh bilangan cek yang digunakan iaitu daripada 207 juta kepada 100 juta setahun. Langkah untuk mencapai matlamat ini termasuk memberikan isyarat harga yang tepat untuk menggalakkan peralihan daripada pembayaran berasaskan kertas kepada e-pembayaran, serta memudahkan jangkauan infrastruktur e-pembayaran yang lebih luas, seperti terminal jualan dan perbankan telefon mudah alih.
- Memperkasakan pengguna Pendekatan yang komprehensif dan holistik terhadap pelindungan dan pendidikan pengguna akan diambil melalui usaha sama dengan pelbagai pihak berkepentingan. Matlamatnya adalah untuk menggalakkan budaya saling bertanggungjawab yang dikongsi antara pengguna, yang telah diperkasakan dengan pengetahuan, kemahiran dan pengetahuan kewangan untuk menguruskan kekayaan peribadi mereka, dengan penyedia perkhidmatan kewangan yang berpegang kepada urusan yang saksama dan bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan mereka. Infrastruktur untuk menyokong usaha memperkasakan lagi pengguna akan diperkukuh melalui penggubalan satu undang-undang kredit pengguna, sistem penyelesaian pertikaian yang bersepadu dan rangka kerja maklumat kredit yang dipertingkatkan. Langkah untuk menggalakkan keupayaan kewangan dalam kalangan pengguna melalui integrasi kurikulum kewangan di sekolah dan program sasaran celik kewangan berdasarkan peristiwa sebenar akan dilaksanakan.
- Pembangunan tenaga mahir untuk menyokong sektor kewangan yang lebih dinamik Majlis Tenaga Mahir Perkhidmatan Kewangan akan ditubuhkan untuk memacu, mengawasi dan menyelaraskan usaha pembangunan tenaga mahir dalam sektor kewangan. Inisiatif lain termasuk membangunkan tenaga mahir pada peringkat kemasukan, menggalakkan pembelajaran berterusan untuk tenaga kerja yang sedia ada, dan menarik minat tenaga mahir dari luar negeri. Bagi memastikan bekalan tenaga mahir yang mencukupi untuk menghadapi cabaran dalam landskap kewangan yang baharu, kerjasama dan penyelarasan yang lebih rapi antara pelbagai agensi di luar sektor kewangan adalah perlu.
Strategi dan saranan Pelan Sektor Kewangan akan memanfaatkan asas sistem kewangan Malaysia yang kukuh. Institusi kewangan Malaysia hari ini mempunyai permodalan yang kukuh dengan penampan modal yang teguh, pengurusan risiko dan amalan tadbir urus korporat yang lebih baik, serta penyertaan pada peringkat serantau yang lebih besar. Infrastruktur kewangan di Malaysia juga telah dipertingkatkan dengan ketara, termasuk pembangunan pasaran sekuriti hutang yang teguh, sistem pembayaran dan penyelesaian yang mantap, serta jaringan keselamatan kewangan yang berkesan. Ini telah disokong oleh rangka kerja pengawalseliaan yang komprehensif dan mantap serta pengawasan yang berkesan selain dasar yang tertumpu pada usaha menangani risiko terhadap kestabilan kewangan secara keseluruhan. Tambahan lagi, Malaysia mempunyai sistem kewangan Islam yang komprehensif dan antara yang termaju di dunia.
Pelan Sektor Kewangan melakarkan wawasan dan hala tuju bagi sektor kewangan Malaysia untuk sepuluh tahun akan datang, yang memberikan sokongan kepada hasrat negara untuk tempoh jangka panjang. Bagi memastikan matlamat yang dihasratkan ini tercapai, rangka kerja perlaksanaan dan pemantauan yang mantap akan diwujudkan, termasuk menyediakan laporan kemajuan pelaksanaan Pelan Sektor Kewangan secara berkala.
Lihat juga: Penerbitan Pelan Sektor Kewangan 2011 - 2020
© Bank Negara Malaysia, 2011. All rights reserved.