Kenaikan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR)
Embargo : Untuk siaran segera Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1830 pada Jumaat, 11 Mac 201111 Mac 2011
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan kenaikan Nisbah Keperluan Berkanun (Statutory Reserve Requirement, SRR) daripada 1.00% kepada 2.00% berkuat kuasa 1 April 2011.
Peralihan secara besar-besaran dalam mudah tunai global telah menyebabkan aliran modal yang besar ke dalam ekonomi sedang pesat membangun, khususnya ke rantau Asia. Fenomena ini telah menyebabkan peningkatan mudah tunai dalam sistem kewangan dalam negeri, dan sekiranya tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menimbulkan risiko ketidakstabilan makroekonomi dan kewangan. Bagi Malaysia, penilaian yang dibuat mendapati bahawa peningkatan dalam mudah tunai sistem kewangan dalam negeri setakat ini telah disalurkan dengan baik. Lantaran itu, keputusan yang diambil untuk menaikkan SRR adalah sebagai langkah awalan untuk menguruskan risiko pertambahan mudah tunai yang boleh mengakibatkan keadaan makroekonomi dan kewangan yang tidak seimbang.
Oleh itu, kenaikan SRR adalah sebagai instrumen untuk menguruskan mudah tunai dan bukan menandakan pendirian dasar monetari. Kadar Dasar Semalaman (OPR) merupakan satu-satunya penunjuk pendirian dasar monetari yang diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan selepas setiap mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari.
Bank Negara Malaysia
11 Mac 2011
© Bank Negara Malaysia, 2011. All rights reserved.