Pernyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan
Embargo :18 Mei 2018
Aktiviti pasaran kewangan di Malaysia terus beroperasi dengan berkesan pada minggu pertama selepas pilihan raya umum. Pasaran kewangan mencatat jumlah transaksi pertukaran asing purata harian yang menggalakkan sebanyak USD15 bilion. Volatiliti tersirat 1 bulan USD/MYR menurun kepada purata 5.6% pada minggu tersebut berbanding dengan tahap yang tinggi sebelum pilihan raya pada 5.9%. Hal ini menandakan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap pasaran kewangan Malaysia. Pada minggu tersebut, ringgit diurusniagakan dalam julat 3.94 hingga 3.98, selaras dengan prestasi dan jangkaan mata wang serantau.
Pasaran bon kerajaan terus disokong oleh pelabur institusi domestik. Kadar hasil tanda aras Sekuriti Kerajaan Malaysia 5 dan 10 tahun meningkat 10 mata asas untuk mencatat masing-masing 3.89% dan 4.18% selaras dengan kenaikan kadar hasil Perbendaharaan AS. Pasaran bon sekunder keseluruhan mencatat jumlah urus niaga purata harian yang kukuh sebanyak RM4.4 bilion pada asas month-to-date pada bulan Mei berbanding dengan purata RM3.4 bilion pada bulan Januari hingga 18 Mei 2018.
Mekanisme pasaran terus berfungsi dengan berkesan dengan adanya mudah tunai yang lebih daripada mencukupi untuk menyokong transaksi pasaran. Bank Negara Malaysia akan terus memantau perkembangan pasaran dan memastikan pasaran kewangan memenuhi semua keperluan perniagaan dan transaksi.
Jawatankuasa Pasaran Kewangan
18 Mei 2018
Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan
Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.
Bank Negara Malaysia
18 Mei 2018
© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.