Kenyataan Bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Mempertingkatkan Respons Sektor Kewangan terhadap Risiko Iklim
Embargo :11 Dis 2021
Kenyataan Bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Mempertingkatkan Respons Sektor Kewangan terhadap Risiko Iklim
Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) mengadakan mesyuarat kali keenamnya pada 9 Disember 2021. Mesyuarat ini bertujuan membincangkan kemajuan inisiatif semasa JC3 dan keutamaannya untuk tahun 2022 bagi mengukuhkan lagi keupayaan sektor kewangan Malaysia dalam menangani risiko iklim.
Ahli-ahli JC3 menyambut baik siapnya Panduan Rujukan Mengenai Pengurusan Risiko dan Analisis Senario Iklim yang akan diterbitkan untuk maklum balas orang ramai pada bulan Disember ini. Panduan Rujukan ini menetapkan jangkaan supaya institusi kewangan mengambil kira pertimbangan risiko berkaitan iklim dalam strategi perniagaan dan risiko mereka. Panduan Pelaksanaan yang selaras dengan TCFD[1] bagi penzahiran risiko berkaitan iklim oleh institusi kewangan juga akan diterbitkan untuk maklum balas orang ramai pada bulan Januari 2022. Sebagai lanjutan kepada usaha ini, panduan penzahiran untuk perniagaan akan dibangunkan pada tahun 2022.
Ahli-ahli JC3 menyokong cadangan supaya institusi kewangan melaksanakan penzahiran wajib risiko kewangan berkaitan iklim yang selaras dengan TCFD mulai tahun 2024. Hal ini bermakna semua institusi kewangan akan menerapkan sekurang-kurangnya saranan asas yang ditetapkan dalam Panduan Pelaksanaan, dan digalakkan menerapkan saranan melebihi kelaziman selaras dengan dedahan terhadap risiko iklim dan tahap kompleks operasi institusi tersebut. Institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM dikehendaki berusaha ke arah menerapkan saranan melebihi kelaziman yang selaras sepenuhnya dengan penzahiran TCFD menjelang akhir tahun 2024. Hal ini bukan sahaja memberikan lebih ketelusan tentang cara pertimbangan risiko iklim disepadukan dalam keputusan perniagaan dan pengurusan risiko institusi kewangan, malah akan membantu memacu tindakan ke arah pengurangan risiko yang lebih berkesan dan penyesuaian yang lebih baik terhadap perubahan iklim. JC3 akan mendapatkan maklum balas berhubung dengan cadangan ini sebagai sebahagian daripada maklum balas tentang Panduan Pelaksanaan dan Panduan Rujukan Mengenai Pengurusan Risiko dan Analisis Senario Iklim.
Sebagai sebahagian daripada program jangkauannya, JC3 menganjurkan sesi perbincangan dan interaksi dengan CEO Action Network (CAN)[2] bagi bertukar-tukar pandangan dan mengenal pasti peluang untuk kerjasama antara sektor kewangan dengan sektor korporat di Malaysia bagi menangani risiko iklim. Lebih banyak produk dan penyelesaian kewangan berkaitan kelestarian juga ditawarkan dalam kalangan ahli JC3. Produk dan penyelesaian ini termasuk pembiayaan projek hijau, gadai janji hijau serta pinjaman dan perlindungan berkaitan kelestarian. Ahli-ahli JC3 turut mengenal pasti tiga cabaran utama dalam usaha memacu agenda kelestarian – kualiti dan ketersediaan data yang lemah, kekurangan insentif dan kurang kesedaran tentang penyelesaian kewangan hijau dalam pasaran. JC3 akan menerbitkan laporan yang lebih terperinci pada tahun 2022 mengenai pemahaman yang diperoleh daripada pelbagai perbincangan dan interaksi serta kaji selidiknya. Laporan ini akan memberikan tumpuan pada peluang dan cabaran yang dihadapi industri kewangan bagi menyokong peralihan iklim secara bermakna.
Berikutan selesainya program latihan Tahap Asas berkaitan risiko iklim pada tahun 2020 dan 2021, ahli-ahli JC3 mengesahkan program latihan Tahap Khusus yang akan diperkenalkan pada tahun 2022. Program tersebut akan memberikan tumpuan pada pengurusan risiko iklim, tadbir urus dan pelaporan, penyelesaian kewangan serta kelestarian sosial.
Berhubung dengan data, ahli-ahli JC3 mengesahkan item data utama berkaitan iklim yang akan menjadi tumpuan JC3 dalam membangunkan katalog data bagi rujukan sektor kewangan pada tahun 2022. Ahli-ahli JC3 juga membincangkan peranan industri kewangan bagi menyokong komitmen Malaysia untuk mencapai Pelepasan Gas Rumah Hijau Sifar Bersih (Net Zero GHG Emissions) seawal tahun 2050, susulan pembentangan Net Zero Pathways for Malaysia oleh WWF Malaysia dan BCG (ringkasan pembentangan boleh didapati di sini). Ahli-ahli JC3 turut membincangkan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan Versi 1 yang dikeluarkan oleh Lembaga Taksonomi ASEAN (ASEAN Taxonomy Board, ATB) pada bulan November 2021[3]. Ahli-ahli JC3 mengambil maklum bahawa taksonomi ini selaras dengan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip.
Bagi tahun 2022, JC3 akan terus memperkukuh keupayaan industri kewangan untuk menguruskan risiko berkaitan iklim dan menyokong perkembangan kewangan hijau. Bagi memulakan program bina upaya JC3 pada tahun 2022, Bengkel Analisis Senario dan Ujian Tekanan akan diadakan pada 13 dan 14 Januari. JC3 juga komited untuk menyokong langkah-langkah peralihan syarikat korporat dan rantaian bekalan mereka ke arah amalan lestari, dan akan terus berbincang dan berinteraksi serta bekerjasama dengan komuniti perniagaan, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan yang berkaitan.
Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
10 Disember 2021

Mengenai JC3
JC3 merupakan platform yang ditubuhkan pada bulan September 2019 untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia. JC3 dipengerusikan bersama oleh Puan Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan ahli yang terdiri daripada pegawai kanan Bursa Malaysia dan 19 peserta industri kewangan serta pakar-pakar yang berkaitan. Inisiatif dan keutamaan JC3 di bawah tanggungjawab empat jawatankuasa kecilnya, iaitu Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Penzahiran; Produk dan Inovasi; serta Keterlibatan dan Pembinaan Keupayaan.
[1] Pasukan Petugas Khas mengenai Penzahiran Kewangan Berkaitan Iklim (Task Force on Climate-related Financial Disclosures, TCFD)
[2] Rangkaian rakan-ke-rakan tidak rasmi dalam kalangan Ketua Pegawai Eksekutif perniagaan Malaysia terkemuka yang memberikan tumpuan pada sokongan kelestarian, bina upaya, tindakan dan prestasi.
[3] https://www.sfinstitute.asia/the-asean-taxonomy/
Bank Negara Malaysia
11 Disember 2021
© Bank Negara Malaysia, 2021. All rights reserved.