iTEKAD Kerjaya: Membina Daya Tahan dan Kebolehpasaran Pekerjaan bagi Segmen Rentan
iTEKAD Kerjaya merupakan sub‑program yang diperkenalkan di bawah naungan iTEKAD pada tahun 2026. Program ini bertujuan membantu individu daripada komuniti rentan untuk meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan serta membina daya tahan kewangan melalui pendekatan berteraskan model seakan biasiswa.
Di bawah setiap program iTEKAD Kerjaya, peserta akan menerima pakej sokongan yang menyeluruh, termasuklah:
1) Latihan Kemahiran Teknikal dan Insaniah: Peserta menjalani latihan berstruktur bagi membina kemahiran yang bersesuaian dan bersedia untuk pasaran pekerjaan.
2) Elaun Latihan: Sokongan kewangan disediakan sepanjang tempoh latihan bagi meringankan beban kewangan peserta.
3) Produk/Program daya tahan kewangan: Produk/program yang membolehkan peserta mula membina daya tahan kewangan mereka dalam jangka masa panjang. Tertakluk kepada program iTEKAD Kerjaya tertentu, ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada:
i) Program Padanan Simpanan: Menggalakkan pembentukan tabiat menabung melalui caruman simpanan yang dipadankan.
ii) Perlindungan Insurans/Takaful Bersubsidi: Perlindungan bagi memperkukuh daya tahan kewangan peserta.
Soalan Lazim iTEKAD Kerjaya
Maklumat Umum
- Walaupun Bank Negara Malaysia tidak menetapkan definisi yang khusus bagi komuniti rentan, dalam konteks iTEKAD Kerjaya, istilah ini merujuk secara umum kepada segmen masyarakat yang terkesan oleh jurang daripada segi akses kepada sumber yang mencukupi, sistem sokongan atau penyelesaian kewangan yang bersesuaian. Keadaan ini boleh mengehadkan keupayaan mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil serta membina daya tahan kewangan dalam jangka panjang.
- Segmen ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, individu daripada isi rumah berpendapatan rendah dan golongan asnaf, pelajar sekolah atau kolej yang tercicir akibat keadaan peribadi atau keluarga yang tidak dijangka, individu yang sedang beralih kerjaya, ibu tunggal dan kumpulan lain yang memerlukan sokongan kebolehpasaran pekerjaan.
- Walau bagaimanapun, pemilihan segmen sasaran bagi setiap program iTEKAD Kerjaya adalah ditentukan oleh institusi kewangan yang menyertai iTEKAD bersama rakan pelaksana masing‑masing, dan oleh itu, boleh berbeza antara satu program dengan program yang lain. .
Kolaborasi
